
MyCC kenakan denda RM97.3 juta kepada 26 syarikat terlibat kartel tipu bida, dengan 14 kes lagi sedang disiasat melibatkan RM2.7 bilion
PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti kewangan berjumlah RM97.3 juta terhadap 26 syarikat yang didapati terlibat dalam kes kartel tipuan bida melibatkan nilai tender keseluruhan RM540.72 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ketika ini terdapat 14 kes tipuan bida melibatkan 563 syarikat yang sedang disiasat oleh MyCC berkaitan tender-tender bernilai RM2.7 bilion.
Beliau menyatakan peruntukan telah diluluskan dalam Belanjawan 2026 untuk melonjakkan penguatkuasaan MyCC dalam mengekang tipuan bida.
Armizan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Persaingan MyCC 2025 bertemakan “Strengthening Competition Through the ‘G’ in ESG for a Sustainable Future” di sini hari ini.
Persidangan itu turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman antara MyCC dengan Suruhanjaya Persaingan Filipina dan SME Corporation Malaysia.
Armizan berkata MyCC diharap mengorak langkah dengan melakukan penguatkuasaan terhadap tipuan bida dalam sektor swasta pada tahun depan.
Beliau menekankan bahawa tipuan bida dalam sektor swasta akan mendatangkan kesan kepada rakyat serta memberi kesan kepada ekosistem persaingan yang sihat di pasaran.
Sementara itu, Armizan berkata kementeriannya membantu penyelarasan MyCC untuk proses menandatangani Surat Persefahaman dengan 16 kementerian untuk membanteras kartel tipuan bida.
Kerjasama antara MyCC dan kementerian-kementerian ini adalah untuk memastikan proses persaingan dalam perolehan kontrak kerajaan berlaku secara telus dan adil.
Mengenai persidangan hari ini, Armizan berkata panel jemputan terdiri daripada sembilan wakil pihak berkuasa persaingan antarabangsa berprofil tinggi.
Beliau menambah bahawa barisan panel pakar tempatan dibarisi wakil daripada Kementerian Kewangan, Petronas, Khazanah Nasional Berhad, Bursa Malaysia, SME Corporation Malaysia dan Bank Negara Malaysia.
Terdapat dua fokus utama yang dibincangkan iaitu berkenaan tipuan bida dan menambah baik tadbir urus dalam transaksi percantuman menerusi rejim kawalan percantuman.
Kedua-dua isu ini boleh menjejaskan usaha untuk mewujudkan pasaran yang sihat, mampan serta progresif, sekali gus memberi kesan kepada kebajikan rakyat secara keseluruhannya. – Bernama
The Sun Malaysia

